Pages

Sunday, February 27, 2011

Tindakan pantas polis elak demonstrasi Hindraf merebak!

Apa sahaja demonstrasi haram yang menyusahkan rakyat wajar dihapuskan. Untuk itu, mencantas pihak yang membuat pelan dan pihak yang menghasut orang ramai menyertai demonstrasi haram wajar dilakukan dan diteruskan dari semasa ke semasa.

Ini kerana tanpa 'arahan' diterima daripada pemimpin, maka ahli tidak berani melakukan sesuatu termasuk menyertai demonstrasi haram.

Sehubungan itu, pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan awam tidak perlu tunduk kepada desakan pemimpin tertentu yang perjuangan mereka hakikatnya bukan untuk kaum yang diwakili, sebaliknya demi kepentingan peribadi atau menjadi alat politik pihak tertentu.

Membiarkan pemimpin sesebuah kumpulan haram seperti Hindraf bermaharajalela, mencabar undang-undang dan peraturan negara akan merosakkan keharmonian dan perpaduan kaum yang kita kecapi sejak zaman merdeka lagi.

Jika diberi pilihan iaitu di antara kumpulan ekstrem yang tidak tentu hala perjuangannya dengan keselamatan serta keharmonian hidup bermasyarakat, tentulah semua pihak yang waras dan berakal akan memilih untuk menjalani kehidupan dalam suasana harmoni, aman dan damai. Ia menjadi pilihan kerana kita tidak mahu berasa takut untuk keluar rumah menjalani kehidupan biasa.

Membiarkan pemimpin bertindak sesuka hati sehingga menjejaskan keselamatan negara boleh diumpamakan membiarkan kudis buta merebak menjadi nanah yang membusuk. Justeru itu, tindakan menahan lapan pemimpin kanan Hindraf dan 109 yang lain merupakan satu tindakan yang bijak. Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 45(1) Akta Pertubuhan 1966 kerana dipercayai menganjurkan perhimpunan haram.

Kita berpendapat, sebelum kudis buta bernanah dan membusuk yang mana keadaan itu pasti menimbulkan kurang senang majoriti penduduk, maka wajarlah mereka-mereka itu ditahan untuk dirawat, diubati dan dipulihkan agar tidak melakukan perbuatan sama di kemudian hari kelak.

Apa yang boleh disimpulkan adalah tindakan pantas pihak polis yang berjaya mengawal demonstrasi dengan menahan pihak perancang terlebih dahulu adalah satu tindakan bijak yang wajar dipuji. Strategi itu yang digabungkan pula dengan penutupan jalan raya dengan mengadakan sekatan di laluan utama masuk ke pusat bandar raya berjaya mengagalkan demonstrasi haram tersebut.

Hakikatnya, tindakan polis itu direstui oleh orang ramai yang bencikan huru-hara yang dicetuskan oleh Hindraf sejak dahulu lagi. Ini kerana isu yang diperjuangkannya bukan untuk kebaikan kaum India yang diwakilinya, malah lebih kepada kepentingan politik individu tertentu. Sebab itulah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum India di negara ini juga membantah penganjuran demonstrasi haram itu dengan menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertainya.

Yang pasti, penahanan itu wajar dilakukan kerana pihak penganjur berdegil meneruskan rancangan mereka, walaupun menyedari pihak polis tidak mengeluarkan permit. Bayangkan jika semua pihak mahu melakukan sesuka hati tanpa menghiraukan amaran polis dan peraturan serta undang-undang negara.

Jika tidak diambil tindakan, dibimbangi pula ia akan menjadi ikutan kumpulan ekstrem lain yang nampaknya semakin berani mengeluarkan kenyataan ikut sedap mulut tanpa memikirkan kesannya. Tahniah kepada pihak polis yang berjaya menggagalkan demonstrasi haram tersebut.

Gerakan Manjung..

Sunday, February 20, 2011

Apakah sebenarnya agenda Uthaya!

SAYA sebenarnya tidak begitu mengenali penulis bernama Uthaya Sankar SB. Tetapi rakan-rakan memberitahu Uthaya adalah salah seorang penulis karya sastera bahasa Melayu berketurunan India. Sekali lagi, bahasa Melayu bukan bahasa Malaysia.

Saya menyusuri laman blognya, dan didapati Uthaya seorang India yang menggunakan bahasa Melayu dengan baik. Saya juga mengikuti tulisan beliau dalam portal Malaysian Insider secara bersiri mengenai Interlok.

Uthaya juga seorang pejuang. Beliau berjuang supaya Interlok edisi pelajar disunting semula. Semua ini dimuatkan dalam tulisan-tulisannya di Malaysian Insider. Malah Uthaya juga salah seorang panel yang dilantik Kementerian Pelajaran untuk meminda Interlok.

Uthaya bebas memberikan pandangan peribadinya mengenai apa isu sekalipun termasuk Interlok. Novel ini bertambah kontroversi apabila puak-puak India yang menganggotai Hindraf, sebuah pertubuhan haram turut masuk campur.

Cuma saya terkejut apabila dalam laman sosial facebook, Uthaya menganjurkan undian mengenai siapakah nama Sasterawan Negara yang muncul secara spontan dalam fikiran. Dalam undian itu nama pengarang Interlok, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain langsung tidak diundi. Maknanya Sasterawan Negara ini tidak dikenali, setidak-tidaknya oleh mereka yang mengundi di laman facebook Uthaya.

Maka kita akan tertanya-tanya apakah agenda Uthaya sebenarnya menganjurkan undian itu ketika isu Interlok sedang menggelegak, dalam masa yang sama beliau menolak Interlok versi pelajar? Tidak puas dengan laman facebook, Uthaya memanjangkan ke blog beliau. Kita tentunya tidak perlu mempertikaikan ketelusan undian tersebut. Tetapi penganjuran dan cara Uthaya memperbesarkan “keputusan” itu bagi saya sudah terkeluar daripada topik Interlok yang diperkatakan.

Dalam blognya, berulang kali Uthaya mengatakan bahawa banyak pihak yang menentang pindaan Interlok sudah terkeluar topik. Tetapi yang dilakukan Uthaya walaupun undian itu bersifat suka-suka lebih jauh menyimpang daripada topik.

Dalam blog dan tulisan, Uthaya berulang kali berkata beliau sangat menghormati Abdullah Hussain. Tetapi beginikah cara Uthaya menghormati orang apabila beliau menulis, “Alahai! Nama Datuk Abdullah Hussain masih tidak muncul secara spontan dalam minda kita rupanya.”

Saya tetap menganggap Uthaya seorang yang berhemah dan berpendidikan tinggi serta menguasai bahasa Melayu di tahap tinggi. Kerana itu beliau perlu menjaga kedudukan dengan tidak “menyeret dan mengheret” peribadi Abdullah Hussain yang seolah-olah tidak terbayang dalam fikiran kita, padahal pengundi di laman facebook Uthaya boleh dipertikaikan status mereka.

Sekali lagi, Uthaya boleh berbeza pandangan dengan sebahagian besar sasterawan Melayu yang menganggap meminda Interlok hanya untuk tujuan politik. Rakan-rakan kalangan sasterawan Melayu melihat beberapa parti India mempolitikkan Interlok. Bagaimanapun Uthaya juga kena mengakui isu Interlok bukanlah “kesilapan fakta” saja.

Interlok adalah alat mengukur kekuatan politik orang India. Tengoklah, banyak India yang memekik menentang Interlok tidak tahu apa pun tentang itu. Uthaya, lihatlah di luar kotak. Tanyalah kenapa MIC perlu meneliti versi pindaan sebelum menyatakan pendirian?


Gerakan Manjung..

Friday, February 11, 2011

Lapan pemimpin kanan pembangkang jadi jutawan segera!

Bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Fauzi Muda mendedahkan terdapat lapan pemimpin kanan PKR, DAP dan Pas menjadi jutawan segera dalam tempoh 11 bulan pakatan pembangkang mentadbir Perak selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac 2008.

Berikutan itu Fauzi, 51, meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat apa didakwanya berlaku penyelewengan dan salah laku dalam kepimpinan kerajaan negeri ketika itu.

Untuk tujuan itu, beliau menyerahkan nama lapan individu tersebut yang terkandung dalam laporannya kepada SPRM Perak di pejabat suruhanjaya itu di sini pada pukul 11 pagi ini.

Bekas Ketua Pemuda PKR Cabang Ipoh Barat, V. Subramaniam yang menyertai Gerakan kelmarin turut menemani Fauzi membuat laporan tersebut.

Fauzi ketika ditemui selepas itu memberitahu, sebelum memperoleh kuasa, lapan individu terbabit termasuk seorang wanita hidup susah ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang serta tidak mempunyai pekerjaan.

"Tiba-tiba dalam tempoh 11 bulan pakatan pembangkang mentadbir Perak, lapan individu ini berjaya mengubah taraf dan gaya hidup.

"Mereka mampu membeli rumah dan kereta mewah berharga ratusan ribu ringgit, membayar hutang dan mendapat rawatan di hospital swasta yang mahal. Dari mana datangnya sumber kewangan ini?" soalnya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama lapan individu tersebut kerana telah membuat akujanji dengan SPRM agar tidak mengganggu siasatan.

Menurut Fauzi, dakwaannya itu mempunyai asas kukuh dan bukannya berunsur fitnah atau dendam terhadap mereka.

"Perkara ini bukan saya sahaja yang pertikai tetapi ramai ahli dan pimpinan PKR serta pakatan pembangkang di Perak marah dengan apa yang berlaku.

"Saya akan mengemukakan segala bukti dan saksi yang diperlukan oleh SPRM bagi membantu siasatan," tegasnya.

Bekas Ketua PKR Cabang Ipoh Barat itu berkata, rakyat perlu melihat betapa rakusnya kepimpinan pakatan pembangkang dalam tempoh sesingkat 11 bulan.

Katanya, semasa berkuasa, pemimpin pakatan pembangkang sibuk berebut jawatan dalam syarikat kerajaan negeri, jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan, berebut tanah serta balak dan bukannya membela nasib rakyat.

"Alhamdulillah, 11 bulan sahaja mereka berkuasa di Perak, kalau tidak, saya yakin negeri ini akan hancur kerana tindakan perakus, perompak dan lanun ini," ujarnya.

Gerakan Manjung

Sunday, February 6, 2011

Nik Aziz letak syarat muzakarah!

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan syarat supaya debat antaranya dengan Majlis Fatwa Kebangsaan atau pihak berkuasa perlu dilakukan secara terbuka.

Beliau berkata, ia penting bagi memastikan semua pihak dapat menilai perjalanan debat dan tidak dimanipulasikan oleh mana-mana pihak.

"Kerana apa orang Melayu tolak Islam, ada orang nasionalis tolak Islam. Saya nak soal itu sahaja, kalau jawapan dia sama dengan Islam, saya boleh terima, jawapan itu mesti sama dengan ajaran Nabi Muhamad.

"Debat ini ajaran agama, masyarakat di kedua-dua belah pihak kena berdebat untuk memberi pendapat dan mendapatkan kebenaran," katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan Skim Bantuan Makanan Untuk Rakyat Termiskin di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan Nik Abdul Aziz tiada sebarang masalah jika Majlis Fatwa Kebangsaan mahu mengkaji semua kenyataannya yang didakwa merosakkan akidah serta memecahbelahkan umat Islam di negara ini.

Malah Menteri Besar Kelantan itu juga bersedia untuk berdebat dengan dengan sesiapa sahaja bagi menjelaskan pendiriannya mengenai kenyataan-kenyataan yang pernah dikeluarkan itu.

Sebelum ini, Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran UMNO Kelantan, Prof. Madya Mohd. Noor Deris meminta Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja mengkaji kenyataan Nik Abdul Aziz yang didakwa merosakkan akidah serta memecahbelahkan perpaduan umat Islam di negara ini.

Beliau turut mencabar Nik Abdul Aziz untuk berdebat bagi mencari kebenaran.

Nik Abdul Aziz bagaimanapun menegaskan, debat itu akan hanya dilakukan dengan mereka yang mempunyai kuasa sahaja dan bukan dengan Mohd. Noor seperti mana yang dilaporkan oleh sebuah akhbar semalam.

"Debat dengan Mohd. Noor mengarut, saya hanya debat dengan yang berkuasa sahaja, kalau yang duduk di universiti tidak payah, Mohd. Noor tidak ada dalam senarai.

"Kaedah debat ini adalah letak al-Quran dan hadis di depan supaya dapat mencari kebenaran,'' katanya.

Semalam, laporan muka depan sebuah akhbar menyatakan Nik Abdul Aziz sedia berdebat dengan Mohd. Noor bagi menjelaskan beberapa kenyataan yang mengelirukan yang dikeluarkan oleh pemimpin Pas itu.

Persoalannya disini adalah mengapa Nik Aziz takut berdebat dengan Prof. Madya Mohd. Noor? Bukankah pertemuan ini seperti buku bertemu ruas! Tepuk dada, tanya selera..mengapa ya!!!

Gerakan Manjung..