Pages

Monday, June 27, 2011

Pas terus bersedia jadi 'pak turut'!

Walaupun himpunan haram Bersih pada 9 Julai ini akan diketuai oleh seorang yang pernah mengguris perasaan umat Islam iaitu S. Ambiga, namun Pas tidak menghiraukannya.

Berdasarkan maklumat diterima, Pas dikatakan merupakan kelompok yang bakal menyumbangkan jumlah teramai untuk turun ke jalanan pada tarikh berkenaan.

Di beberapa negeri di kawasan utara, ahli-ahli Pas telah ditiupkan semangat untuk turun ke Kuala Lumpur atas dasar 'untuk melawan UMNO' dan mereka akan mula bergerak dari negeri masing-masing pada 6 Julai - tiga hari lebih awal.

Selain menaiki kereta api, ahli-ahli Pas juga sudah disediakan bas khas untuk mengangkut mereka.

Ketika di Kuala Lumpur, mereka yang menginap di masjid-masjid dan hotel murah sekitar Chow Kit akan turut menghadiri 'amanat terakhir' pemimpin-pemimpin pembangkang yang bakal diadakan pada 8 Julai di Taman Melewar, Gombak.

Ahli-ahli Pas yang turut akan dibarisi oleh remaja yang menyertai Unit Amalnya dikatakan bakal menjadi benteng hadapan dalam berdepan dengan pihak polis.

Demikianlah 'kehebatan' Pas yang terus dilihat bersedia menjadi 'kuda tunggangan' dan 'pak turut' kepada Ambiga, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bagi menghuru-harakan ibu negara pada 9 Julai.

Dalam pemikiran pemimpin dan ahli Pas yang akan menyertai himpunan haram itu sudah tidak ada apa-apa pertimbangan yang ada dalam otak mereka ialah turun ke jalanan, biar pun apa juga risikonya.

Tambahan pula, Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang sendiri sudah memberi lampu hijau kepada ahli-ahli parti itu untuk bergandingan dengan Ambiga, PKR dan DAP bagi tujuan berkenaan.

Jelaslah, Pas kini semakin bercelaru dan keliru dalam perjuangannya sejak meninggalkan perjuangan negara Islam dan beralih kepada negara berkebajikan.

Pas kini benar-benar ingin membuktikan bahawa mereka bernilai dalam pakatan pembangkang sehingga sanggup menyediakan ribuan orang untuk himpunan haram Bersih tersebut.

Walaupun perbuatan mereka boleh mencetuskan huru-hara dan kacau bilau tetapi ia tidak termasuk dalam perhitungan pemimpin dan ahli Pas kerana apa yang penting mereka ingin menunjukkan kesetiaan kepada pakatan pembangkang.

Kita tidak pasti sama ada Pas sudah berfikir semasak-masaknya sebelum membuat keputusan untuk terus bersekongkol dengan Ambiga yang dilihat disifatkan seorang yang banyak menganggu gugat umat Islam.

Kenapa Pas mahu terus diperkudakan oleh PKR dan DAP? Bukankah kalau difikirkan jika pilihan raya di negara ini tidak bersih, Pas tidak akan mampu memerintah Kelantan sehingga ke hari ini sejak 1990, menjadi kerajaan di Terengganu pada 1999 dan mewujudkan sebuah lagi kerajaan negeri di Kedah pada pilihan raya umum lalu.

Bagaimana pula dengan kemenangan calonnya dalam pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri Penanti, Parlimen Bukit Gantang dan Manek Urai? Tidakkah semua fakta ini telah menunjukkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan amanah?

Apakah penyertaan Pas dalam himpunan Bersih kali ini bertujuan untuk menunjukkan sikap liberal Pas yang sudah boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan mereka menentang kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO?

Jelaslah sejak meninggalkan perjuangan negara Islamnya, parti itu semakin terbuka dan dilihat bertambah ghairah untuk merebut kekuasaan bersama-sama dengan PKR dan DAP.

Pas bukannya tidak tahu kesan buruknya perhimpunan haram Bersih kepada rakyat, mereka sudah melihatnya pada 2007. Tetapi semua itu sudah tidak ada lagi dalam perhitungan Pas, apa yang parti itu ingin tunjukkan ialah kesetiaan bagi memastikan Pas tidak tercicir jika pembangkang memerintah.

Kalau Pas tidak mahu dituduh sudah meninggalkan perjuangan Islamnya, Pas sepatutnya tidak bersekongkol dengan Ambiga, PKR dan DAP. Pas tentu faham bahawa Islam amat tidak menggalakkan sebarang tindakan yang boleh menjuruskan kepada anarkis atau keganasan.

Banyak lagi cara untuk menyelesaikan masalah apatah lagi mengemukakan tuntutan. Pas perlu faham jika himpunan Bersih nanti mencetuskan huru-hara dan seterusnya menyusahkan rakyat merekalah yang banyak akan menerima tempiasnya.

Rakyat terutamanya orang Melayu sudah tertentu tertanya-tanya kenapakah Pas menjadi begitu jahil sehingga sanggup 'memperkudakan' ahli-ahlinya demi mencapai cita-cita politik sempit Ambiga dan parti pembangkang yang lain.

Oleh itu kepada ahli-ahli Pas yang begitu bersemangat untuk turun ke Kuala Lumpur pada 9 Julai ini, berfikirlah dengan semasak-masaknya kesan akibat perbuatan mereka. Janganlah menjadi seperti robot yang dikawal untuk melakukan itu dan ini, sedangkan mereka tidak akan meraih sebarang keuntungan.

Ingatlah, kemenangan dalam politik boleh dicapai melalui pemahaman kepada rakyat melalui visi dan misi yang jelas, bukannya melalui demonstrasi jalanan dan huru-hara.

Mungkin Pas akan berbangga kerana berjaya menampilkan penyokong paling ramai dalam himpunan haram tersebut tetapi ia tiada gunanya kerana percayalah akhirnya Pas akan menjadi bak kata orang menang sorak kampung tergadai!.

Oleh : ZULKIFLEE BAKAR

Gerakan Manjung,,

Monday, June 20, 2011

BERSIH 2.0 - Video Mat Sabu seorang hipokrit terhadap perjuangan PAS!



Cayalah Mat Sabun. Selepas ini makin ramai orang PAS akan tinggalkan PAS selepas video ini membuktikan bahawa Timbalan Presiden PAS ini sebenarnya seorang yang hipokrit. Mula-mula cakap setuju kepimpinan ulama diteruskan tetapi perlu ada penambah baikan demi kepentingan parti.

Tapi bila DAP umpan dia suruh dia sampaikan bantuan kepada mangsa tanah runtuh di Selangor terus dia semangat nak sepak keluar ulama dari kepimpinan PAS.

Maklumlah dia lebih berharga daripada Exco kerajaan Pulau Pinang. Kenapa Guan Eng tak suruh Exco sampaikan bantuan? tapi bila sampai masa nak mengadap YDPA pandai lak Guan Eng hantar Exco..

Perlantikan sebagai komander BERSIH 2.0 sekali lagi satu penghargaan kepada Mat Sabun. Penghargaan atas jasa beliau yang sanggup menjilat bontot DAP dan PKR yang sememangnya mahu menimbulkan huru hara di negara kita.

Orang PAS dok tunggu apa lagi? Sudah-sudah ler tertipu dengan imej berkopiah putih.

Gerakan Manjung..GM

Tuesday, June 7, 2011

Nor Azli perlu cermin diri!

Bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Perak, Nor Azli Musa perlu mencermin dirinya terlebih dahulu sebelum mencerca Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dengan gelaran 'syaitan bercakap' dan 'Haramsani'.

Bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat negeri, Fauzi Muda berkata, Nor Azli perlu menyoal dirinya sama ada dia benar-benar mengikut ajaran Islam dan berjuang kerana agama.

"Jika dahulu Nor Azli duduk rumah biasa tetapi semasa pembangkang berkuasa di Perak, dia mampu beli rumah berharga lebih RM500,000 di Tasek.

"Islam tidak suruh kita kayakan diri sendiri apabila mendapat kuasa," katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai sikap biadab Nor Azli yang menggelar Mufti Perak sebagai 'syaitan' yang lebih teruk daripada 'syaitan bisu' kerana tidak menegur budaya fitnah yang kononnya dibawa UMNO dan BN pada pilihan raya umum.

Sebelum ini, Nor Azli yang kalah bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Trong pada Pilihan Raya Umum 2008 menggelar Harussani sebagai 'Haramsani' kerana mendakwa Mufti Perak itu menerima gaji sumber haram dan tidak menegur kerajaan negeri membayar gaji kakitangan awam dengan duit haram.

Fauzi mendakwa bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Perak itu ialah antara lapan pemimpin pembangkang yang menjadi jutawan segera semasa tempoh 11 bulan pembangkang berkuasa di Perak dan perkara itu sudah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) , 11 Februari lalu.

Mengulas mengenai dakwaan kerajaan negeri membayar gaji kakitangan awam dengan duit haram, katanya, Nor Azli pernah makan gaji semasa bekerja sebagai Penolong Pendaftar Mahkamah Syariah di Pejabat Agama Islam Manjung.

Gerakan Manjung..( GM )