Pages

Wednesday, November 2, 2011

Lim Guan Eng kelirukan rakyat dalam pembentangan Bajet 2012 - ADUN BN!

Seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) hari ini menyifatkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebagai seorang yang pandai bermain silap mata dalam membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2012.

Datuk Jasmin Mohamed (BN-Sungai Dua) berkata, kepandaian Lim bermain silap mata itu ialah dengan menunjukkan defisit yang tinggi dan kemudiannya menyatakan bahawa kerajaan telah berjimat dan mengurus kewangan dengan baik untuk mendapatkan lebihan.

"Mana ada lebihan? Apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri ialah tidak membelanjakan wang yang diperuntukkan dalam bajet sehingga menurut Laporan Audit, Pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri hanya membelanjakan sebanyak 54 peratus daripada bajet yang diluluskan," katanya ketika membahas Rang Undang-Undang itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)Pulau Pinang, di sini.

Katanya, apabila wang yang diperuntukkan untuk faedah rakyat itu tidak dibelanjakan, maka ia bukannya satu penjimatan malah ia adalah satu kerugian kepada rakyat.

"Jika wang yang diperuntukkan tidak dibelanjakan, maka ia menunjukkan kerajaan negeri tidak cekap dan tidak telus dalam menguruskan kewangan negeri," katanya.

Jasmin berkata, apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri ialah mengaburi mata rakyat Pulau Pinang dengan bantuan RM100 untuk warga emas dan anak emas sedangkan pada hakikatnya peruntukan sebenar untuk rakyat tidak dibelanjakan.

"Apabila rakyat memohon bantuan daripada JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) mereka akan menjawab tiada peruntukan, kerajaan negeri tidak beri peruntukan", katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga tidak mengatasi masalah kemudahan awam di kawasan luar bandar dan membiarkan jalan-jalan kampung berlopak.

Jasmin berkata, walaupun peruntukan untuk pembangunan infrastruktur itu terkandung dalam belanjawan negeri, namun kerajaan negeri tidak melaksanakannya dan ini bermakna rakyat di negeri ini telah disia-siakan.

Gangga Negara..