Pages

Thursday, April 21, 2011

Kempen DAP tolak E-mel 1Malaysia kerana cemburukan Najib!

Tindakan DAP menganjurkan kempen menerusi laman sosial Facebook mengajak rakyat menolak program memberikan E-mel 1Malaysia kepada rakyat disebabkan cemburu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang terus mendapat sokongan swasta untuk menjayakan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Dakwaan DAP kononnya projek E-mel 1Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri itu sebagai membazir wang kerajaan juga berniat jahat dan bermotif politik untuk memburukkan imej kerajaan pimpinan Najib.

Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (PROWARIS), Feriz Omar, berkata semua pihak terutama pembangkang sepatutnya berusaha menjayakan program yang akan dilaksanakan dalam GTP supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat. “Pelaburan RM50 juta untuk program itu bukan dari kerajaan, tetapi pelabur, teknokrat dan korporat yang yakin dengan kerajaan serta GTP. Sepatutnya jumlah pelaburan tidak dijadikan isu. Kalau ada orang luar yang berani melabur bagi pihak kerajaan, apa salahnya.

“Jangan timbulkan persoalan yang kerajaan membazir, sebaliknya pandang manfaat yang akan diterima rakyat keseluruhannya. DAP sebenarnya cemburu kerana mereka tidak mendapat seperti apa yang kerajaan dapat,” katanya kepada disini semalam.

Kelmarin, Penasihat DAP, Lim Kit Siang melancarkan kempen anti program E-mel 1Malaysia dalam akaun Facebooknya dengan alasan ia membazir wang rakyat dan menyekat hak asasi rakyat.

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri yang rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan diberikan akaun e-mel peribadi menerusi web portal E-mel 1Malaysia mulai Julai ini yang membolehkan mereka menerima kenyataan dan makluman daripada kerajaan sebagai langkah mewujudkan perhubungan langsung antara rakyat dengan semua agensi awam.

Presiden Persatuan Belia Felda Malaysia, Anuar Abd Manap pula berkata, sebuah sekretariat khas perlu diwujudkan bagi mengurus dan melayan setiap maklum balas yang diterima daripada pemilik akaun e-mel berkenaan bagi membuktikan kerajaan serius mendekati rakyat.

Katanya, sekretariat berkenaan perlu mempunyai piagam yang dapat menentukan hala tuju dan matlamat sebenar supaya sasaran menyalur maklumat serta dasar kerajaan kepada rakyat benar-benar tercapai.

“Kita tidak mahu, apa yang cuba dibawa kepada rakyat akhirnya menjadi ‘senjata makan tuan’ kepada kerajaan semula. Ia satu projek yang unik kerana tidak ada negara lain yang memberikan akaun e-mel kepada rakyatnya.

“Rakyat Malaysia amat bertuah kerana e-mel pun kerajaan sediakan. Cuma kita tidak mahu projek yang bertujuan mendekatkan hubungan kerajaan dengan rakyat tidak mencapai matlamat disebabkan gagal memberi kesan kepada rakyat,” katanya.

Gerakan Manjung..

Wednesday, April 20, 2011

Elak sensasi isu agama, kaum!


Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menyampaikan titah ucapan pada istiadat Mengadap Sembah Taat Setia, Menjunjung Duli dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena Hari Keputeraan Sultan Perak ke-83 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam.

Teks titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah di Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-83 baginda di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, semalam.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, hamba-Mu ini melafazkan kalimah kesyukuran kerana dengan limpah ihsan dari-Mu juga, hamba-Mu terus dikurniakan usia untuk dapat menyambut ulang tahun hari keputeraan kali ke-83.

Semoga dengan panduan dari-Mu juga, hamba-Mu berjaya menyempurnakan amanah memimpin negeri dan menaungi warga, secara adil – secara saksama.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW, para keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya ke atas para Tabiin dan para ulama.

Ketika negara ini mencapai kemerdekaan, Beta berada dalam usia muda yang penuh dengan idealisme. Beta turut menghayati iltizam dan impian Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum) untuk membangunkan sebuah negara merdeka yang aman lagi bersatu, makmur lagi berdaulat.

Barisan pemimpin yang merintis gerakan kemerdekaan, mengenal pasti pentingnya dipupuk perpaduan dan hubungan harmoni di kalangan warga pelbagai kaum dan pelbagai agama di bumi ini.

Beta bersama warga muda sezaman, turut berazam untuk menjadikan impian indah itu satu realiti, lalu sama-sama mendukung impian untuk membina sebuah negara bangsa merdeka yang teguh bersatu dan kukuh berpadu.

Sesungguhnya, hubungan harmoni antara kaum telah sedia ada secara semula jadi terutama melalui semangat yang diperlihatkan di kalangan masyarakat biasa, dari kalangan petani dan nelayan, pekerja ladang dan pelombong bijih, pemandu teksi dan pekedai runcit, demikian juga di kalangan pendidik, pentadbir dan peniaga.

Masing-masing menerima hakikat bahawa Tuhan telah mencipta manusia dengan pelbagai perbezaan tetapi dari perbezaan itu terkandung banyak persamaan.

Hubungan tulus ikhlas kemanusiaan, sebenarnya, lebih terpancar di kalangan kanak-kanak, yang bermain air di kolam yang sama dan berlari-lari di padang yang sama, tanpa mengenal perbezaan sama ada antara kaum, antara agama atau antara taraf sosial.

Ketika Beta berada di alam sekolah, hubungan harmoni di antara kaum sebenarnya telah berjaya dipupuk dengan penuh kebijaksanaan melalui program pendidikan nasional yang berkesan. Perpaduan dan hubungan harmoni tumbuh segar di dalam jiwa raga setiap warga – hidup subur di taman sebuah negara bangsa.

Pohon perpaduan yang subur itu kemudiannya diracun. Kegiatan politik bersentimen kaum secara keterlaluan mengakibatkan tercetusnya tragis perselisihan kaum yang ekstrem dalam tahun 1969.

Langkah-langkah perundangan dan pentadbiran lalu diperkenalkan untuk menangani krisis yang berlaku. Ia berjaya memberi kestabilan yang telah membolehkan negara memberi fokus kepada usaha pembangunan hingga negara berjaya mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi yang membanggakan.

Kebelakangan ini, isu perkauman dan isu keagamaan kembali menjelma. Pandangan sempit bertunjangkan kaum dan pendirian emosional berakarkan agama cuba dihidupkan semula.

Api kemarahan di kalangan kaum dan di antara penganut agama mahu dinyalakan, sementara pendekatan rasional kerajaan cuma dilemahkan. Perkembangan ini amatlah berbahaya. Perkembangan berbahaya ini, jika tidak dibendung secara bijak, berpotensi memusnahkan masa hadapan negara.

Isu-isu menyentuh sensitiviti kaum dan sensitiviti agama adalah kompleks lagi rumit. Isu kaum dan isu agama tidak dapat diselesaikan melalui saluran perundangan atau melalui penghakiman mahkamah semata-mata.

Keputusan mahkamah tidak memberi erti jika keputusan tersebut tidak diterima secara objektif, lebih mudarat lagi jika ditafsirkan dengan emosi. Kebebasan dan integriti mahkamah akan menjadi subjek pertikaian apabila emosi mempengaruhi asas penilaian.

Isu-isu menyentuh sensitiviti kaum dan sensiviti agama memerlukan pendekatan penyelesaian secara bijaksana serta berhikmah – melalui perbincangan – melalui perundingan, supaya persefahaman dan apresiasi di kalangan warga dapat dipertingkatkan.

Pemimpin kaum dan pemimpin agama yang berpengaruh mempunyai peranan sangat utama. Semua agama menyeru kepada perdamaian, Semua agama mengajar penganutnya menghormati agama lain serta memahami akan sensitiviti agama lain. Semua agama mengajar pengikutnya supaya tidak mempersendakan jauh sekali dari menghina agama lain.

Semua pihak wajib menerima realiti asas, bahawa negara ini telah mempunyai sejarah yang lama didiami oleh penduduk pelbagai kaum dan pelbagai agama.

Pada hari pertama negara ini mencapai kemerdekaan, warga kepada Persekutuan Tanah Melayu terdiri daripada pelbagai kaum dan pelbagai agama. Kata sepakat tentang keistimewaan, kedudukan, perlindungan dan hak setiap kumpulan telah dijamin secara Perlembagaan.

Dengan latar belakang sedemikian, setiap pihak harus menerima hakikat bahawa di antara warga memang ada kelainan, tetapi dalam kelainan tersebut terkandung kesamaan.

Elemen-elemen kesamaan itu adalah aset negara yang harus dipupuk untuk membina kemakmuran, sedangkan elemen-elemen kelainan yang bersifat liabiliti, tidak harus digembar-gemburkan.

Tidak akan berlaku kestabilan politik tanpa perpaduan warga. Tidak akan dapat disuburkan ekonomi negara tanpa kestabilan politik.

Banyak negara berakhir dengan anarki, pertumpahan darah, pembunuhan dan kemusnahan apabila isu kaum dan isu agama dipilih untuk disensasikan.

Oleh itu, pemimpin agama hendaklah melaksanakan tugas keagamaan dengan penuh keikhlasan, atas nama Tuhan, atas nama agama, tanpa menyelitkan agenda politik.

Akan rosaklah agama jika agama mula dicampuradukkan dengan agenda politik. Akibatnya pengikut kabur, negara hancur, yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu.

Raja pemerintah, termaktub di dalam Perlembagaan mempunyai tanggungjawab sebagai Ketua Agama Islam Negeri. Namun Perlembagaan juga menggariskan tanggungjawab raja pemerintah untuk melindungi kepentingan sah kaum-kaum lain.

Raja-raja Melayu amat memahami tanggungjawab untuk bersifat adil dan saksama kepada semua warga dan bersedia membantu merangka formula terbaik demi memastikan hubungan harmoni di antara kaum dan di antara agama kekal terjamin.

Beta menyeru seluruh warga di negeri ini untuk mengamalkan budaya politik berteraskan kesederhanaan, mengutamakan perpaduan warga, dan memilih pendekatan politik yang konstruktif demi menjamin sistem berkerajaan berteraskan amalan demokrasi kekal dipertahankan.

Isu sensitif menyentuh kaum dan menyentuh agama hendaklah dielak daripada dijadikan modal politik untuk mendapatkan pengaruh.

Carilah formula menang-menang untuk menyelamatkan warga daripada menjadi mangsa pertelingkahan hingga terpaksa berakhir dengan kesengsaraan.

Beta hargai sokongan dan persepakatan yang Beta peroleh daripada Paduka Anakanda Raja Muda, Paduka Adinda Raja Di Hilir, kesemua Raja Bergelar Waris Negeri, Kerabat Diraja, Orang Besar dan Ahli Dewan Negara membantu Beta memenuhi peranan seorang Sultan.

Beta menzahirkan penghargaan kepada Mamanda Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Dewan Negeri, anggota kehakiman dan perundangan, anggota perkhidmatan awam, para ulama dan imam-imam.

Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, para penghulu dan Jawatankuasa Kemajuan Kampung yang telah melaksanakan tanggungjawab serta saling bekerjasama untuk memastikan negeri sentiasa berada dalam keadaan aman lagi stabil serta warga berada dalam suasana selamat lagi sejahtera.

Beta amat mengalu-alukan peranan pihak swasta, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, badan-badan sukan serta warga keseluruhannya yang telah membantu memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh kerajaan beta.

Semoga warga dan Negeri Perak Darul Ridzuan terus dilimpahkan nikmat dan rahmat, perlindungan dan keselamatan dari Allah Subhanahu Wataala.

Kepada Mu Ya Allah, hamba-Mu memohon untuk terus diberikan petunjuk dan hidayah. Amin, Ya Rabul Alamin.

DAULAT TUANKU!

Gerakan Manjung..

Thursday, April 14, 2011

Moral seorang pemimpin - Sanggupkah Anwar berbuat demikian!

''Saya juga akan memperbaiki diri dengan membaca al-Quran, mendapatkan nasihat guru agama, menderma kepada golongan miskin dan berbuat perkara baik bagi mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat.'' Itulah kata-kata yang dilafazkan oleh Ahli Parlimen Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Arifinto ketika mengumumkan peletakan jawatannya selepas didapati menonton video lucah semasa persidangan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Indonesia, Jumaat lalu.

Mungkin Arifinto telah melakukan kesilapan, namun dengan keinsafan yang beliau tunjukkan seharusnya menjadi pengajaran kepada semua individu yang bergelar pemimpin. Tetapi malangnya tidak semua pemimpin mahu mencontohi Arifinto atau mana-mana pemimpin di dunia terutamanya di Jepun dan Korea yang bersedia meletakkan jawatan apabila dikaitkan dengan satu skandal atau dakwaan. Ada di kalangan pemimpin yang lebih bersedia berkonfrantasi dan bermati-matian mempertahankan dirinya.

Dia menjelajah ke seluruh negara mendakwa dirinya dianiaya, menjadi mangsa fitnah dan kezaliman politik pihak tertentu. Namun apa yang menjadi persoalan segala pintu yang dibuka bagi membolehkan dia membersihkan namanya ditolak mentah-mentah.

Sebaliknya, dia lebih cenderung hendak menyeret rakyat untuk bersama-sama menyokongnya atas alasan dia dizalimi, kesudahannya negara boleh menjadi kucar-kacir dan tidak tenteram.

Rasulullah SAW bersabda: ''Tidaklah seorang pemimpin mempunyai perkara kecuali ia akan datang dengannya pada hari kiamat dengan keadaan terikat, entah ia akan diselamatkan oleh keadilan, atau akan dijerumuskan oleh kezalimannya." (Riwayat Baihaqi dari Abu Hurairah dalam kitab Al-Kabir).

Mungkin bagi pemimpin yang berkenaan, dia berasa berhak untuk mempertahankan diri tetapi dalam masa yang sama dia juga perlu faham bahawa rakyat juga berhak mempunyai penilaian yang betul sama ada seseorang itu layak atau tidak menjadi pemimpin. Dalam soal ini, kita perlu memahami bahawa moral memainkan peranan yang cukup penting sebelum seseorang itu disanjung sebagai pemimpin.

Sebab itulah rakyat tidak harus terpedaya dengan 'lakonan' oleh mana-mana juga individu bergelar pemimpin yang dilihat sering sahaja berdolak-dalik dalam menjawab sesuatu dakwaan melibatkan dirinya. Jika rakyat merasakan apa yang mereka ketahui itu satu kebenaran maka mereka perlu mengakuinya dengan membuang segala sifat taksub apatah lagi simpati.

Ia bersesuaian dengan pesanan Rasulullah SAW melalui sabda baginda yang bermaksud ''Rasa takut (segan) terhadap manusia jangan sampai menghalangi kamu untuk menyatakan apa yang sebenarnya jika memang benar kamu melihatnya, menyaksikannya atau mendengarnya."
Kita juga perlu berfikir dengan bijak apabila ada pihak berhujah bahawa Islam melarang membuka aib sesama Islam. Sudah tentulah sebagai orang Islam kita mengakuinya kerana perkara itu sudah dinyatakan di dalam al-Quran dan juga hadis Rasulullah SAW. Tetapi dalam Islam juga membenarkan kemungkaran yang dilaksanakan oleh seseorang pemimpin itu didedahkan.

Ini bagi mengelakkan mereka terpedaya dengan sandiwara mana-mana pemimpin yang zahirnya dilihat begitu baik dan bersih berikutan kebijaksanaannya berkata-kata dan memutar belit fakta. Penyelewengan oleh seseorang pemimpin dalam apa juga perkara termasuk moral perlu didedahkan kepada masyarakat. Langkah itu akan membolehkan orang ramai menghindari pemimpin tersebut daripada dipilih dan digantikan dengan pemimpin lain yang amanah terhadap Islam dan rakyat.

Ini bermakna tindakan mendedahkan kesalahan pemimpin itu adalah kerana ingin mengelakkan masyarakat daripada ditimpa kejahatan akibat perbuatan pemimpin berkenaan. Renungkanlah sejarah Islam dahulu bagaimana ketika zaman Khalifah Islamiah, seseorang boleh mendedahkan kepada khalifah keburukan para menteri yang berada di bawah pimpinannya.

Melalui cara sedemikian menteri atau pemimpin yang terlibat boleh ditegur atau digantikan dengan orang lebih baik. Begitulah juga kedudukan kita sekarang, moral perlu menjadi perhitungan paling penting dalam kita menentukan siapa yang harus kita ikuti sebagai pemimpin. Jangan sampai kerana ketaksuban kepada seseorang pemimpin itu, kita menolak segala fakta yang menjurus kepada kebenaran dan menegakkan keadilan.

Pada masa ini, kita sudah lihat ada sekelompok manusia yang begitu taksub. Mereka membutakan mata dan menutup telinga bagi mendengar kebenaran. Mereka membuat andaian segala yang berlaku adalah satu konspirasi dan bermotifkan politik tetapi dalam masa yang sama enggan memberi ruang kepada usaha mencari kebenaran itu.

Jika benar mereka mahukan pemimpin yang mereka sayangi itu diangkat sebagai pemimpin tertinggi dan percaya bahawa dia tidak melakukan perbuatan keji, maka sokonglah usaha bagi membersihkan namanya. Kita harus ingat dalam Islam amanah memilih pemimpin bukanlah satu perkara yang ringan. Jika kita tersilap memilih pemimpin, kita boleh dikategorikan melakukan khianat kepada Allah, Rasul-Nya dan kaum mukminin.

Sebab itulah, Rasulullah SAW memberikan peringatan melalui sabda baginda bermaksud: "Barangsiapa memilih seseorang menjadi pemimpin untuk suatu kelompok, yang di kelompok itu ada orang yang lebih diredai Allah daripada orang tersebut, maka ia telah berkhianat kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman."
Atas sebab itulah, apabila pemimpin yang kita sanjung berhadapan dengan sesuatu dakwaan, kita janganlah mudah melatah sehingga menutup pintu kebenaran dengan ketaksuban.

Berpeganglah kepada peringatan Rasulullah SAW bahawa kebenaran pasti mengalahkan kebatilan. Mereka juga tidak harus lupa bahawa Allah SWT mengingatkan kita bahawa manusia hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan segalanya.

Justeru sejauh mana pun manusia merancang menjatuhkan seseorang pemimpin tetapi selagi pemimpin itu berada di jalan yang benar, dia tidak akan takut kepada usaha berkenaan kerana sesungguhnya orang yang benar itu sentiasa diberkati dan dilindungi Allah SWT. Tetapi apa yang kita saksikan sekarang ada pemimpin yang terus bersandiwara di pentas alam fana ini dan mungkin mereka mampu memperdayakan manusia tetapi hanya Allah SWT yang maha mengetahui apa yang terjadi di langit dan di bumi.-UM.

Gerakan Manjung..

Wednesday, April 13, 2011

Anwar patut malu dengan Arifinto!

Anwar Ibrahim yang selalu memuji akauntabiliti budaya politik Indonesia, patut merasa malu dengan sikap bertanggungjawab wakil rakyat dari Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Arifinto, yang meletakkan jawatan hanya kerana aksinya sedang menonton video seks didedahkan media.

Namun berbeza dengan Arifinto, Anwar yang dikaitkan dengan masalah moral lebih kronik iaitu didakwa melakukan hubungan seks bukan sahaja enggan melepas jawatan sebaliknya, menuduh pihak tidak berkaitan sebagai dalang dalam pembikinan rakaman video seks seorang pemimpin kanan pembangkang.

Sehubungan itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari mempersoalkan, mengapa ketua pembangkang itu tidak mengambil tanggungjawab yang sama seperti Arifinto sedangkan, selama ini beliau selalu memuja sistem serta budaya politik Indonesia sehingga sanggup memburukkan negara sendiri.

"Saya kagum dengan keberanian Arifinto yang sanggup melepaskan jawatan apabila aksi beliau sedang menonton video seks didedahkan tetapi, di negara kita, individu yang dikaitkan sebagai pelakon dalam rakaman video seks bukan sahaja enggan melepaskan jawatan, malah menyalahkan pihak lain.

"Namun, pihak yang mendedahkan aksi seks tersebut (trio Datuk T) tidak pula Anwar berani saman. Sedangkan, kita tahu Anwar merupakan pemimpin politik paling gemar menyaman sesiapa sahaja yang tidak sebulu dengannya," jelas beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, keengganan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyaman trio 'Datuk T' menimbulkan pelbagai keraguan di kalangan rakyat memandangkan pendedahan video seks tersebut bukan sahaja mencemar maruah Anwar, tetapi nama baik keluarganya.

Tambah beliau, adalah cukup pelik apabila Anwar yang mempunyai barisan peguam bela tersohor tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap 'Datuk T' sehingga kini, kecuali beliau memang berhasrat menyembunyikan kebenaran di sebalik video seks itu daripada diketahui rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas pewaris 'diari merah' ketua pembangkang itu percaya, masa depan politik bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut semakin menuju kepada kehancuran, akibat perbuatan Anwar sendiri dan bukannya disebabkan oleh musuh politik sebagaimana didakwanya.

"Anwar diibaratkan orang yang sudah melewati waktu asar dan menghampiri waktu maghrib. Namun malangnya, masih terpalit dengan pelbagai salah laku moral akibat kerakusan nafsu.

"Sayangnya Anwar sudah tidak mampu berpatah balik, sama seperti masa yang berdetik pada jam Omega, yang hanya menanti saat kebenaran," jelasnya.

Gerakan Manjung..