Pages

Wednesday, March 9, 2011

Baik sangatkah Pas ketika pilihan raya?

MURSYIDUL Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ternyata kecewa dengan kekalahan empat kali berturut-turut parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan sejak November lalu. Selepas gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan, Pas terus tersungkur di DUN Tenang, Merlimau dan Kerdau.

Namun begitu, ia belum mencukupi bagi memberikan keinsafan kepada pemimpin Pas seperti Nik Abdul Aziz yang terus menuding jari menyalahkan orang lain terhadap kekalahan parti tersebut.

Terbaru, Menteri Besar Kelantan itu ketika mengulas kekalahan di Merlimau dan Kerdau mendakwa, Barisan Nasional (BN) menggunakan jentera kerajaan. Dakwanya, kekalahan itu disebabkan Pas berdepan dengan Kerajaan Pusat dan bukannya UMNO atau BN.

Nik Abdul Aziz terus membebel mengatakan BN mencabul sistem demokrasi di negara ini bagi 'mencipta kemenangan'.

''Kita sebut pilihan raya, tetapi sebenarnya di Malaysia tidak ada pilihan raya. Pas sebagai sebuah parti sepatutnya lawan dengan UMNO, tetapi yang berlawan sekarang parti dan kerajaan, televisyen, radio dan projek semua berpihak kepada sebelah pihak.''

Itu hujah Nik Abdul Aziz, tetapi sebelum kita menelan bulat-bulat apa yang diperkatakan oleh Mursyidul Am Pas itu, cubalah kita menilai apa yang dilakukan oleh kerajaan Pas Kelantan ketika PRK DUN Galas pada 4 November tahun lalu.

Apakah Pas 'tidak menyalah gunakan kuasa' atau jentera kerajaan negeri apabila mengumumkan 'cuti peristiwa' bagi membolehkan mereka memberi tumpuan kepada PRK berkenaan. Galas hanya mempunyai 11,553 pengundi, tetapi kenapa perlu seluruh rakyat Kelantan diberi cuti? Tidakkah pemberian cuti itu lebih bersifat politik?

Nik Abdul Aziz juga berhujah bahawa BN memberi projek setiap kali pilihan raya, tetapi di Galas Kerajaan Pas Kelantan dipercayai menggunakan Ladang Rakyat dan pembahagian tanah untuk menarik sokongan kira-kira 2,000 pengundi Orang Asli sempena PRK itu.

Ini belum lagi mengambil kira projek-projek yang diberikan bagi memancing undi ketika Pilihan Raya Umum 2008. Kita juga perlu bertanya kepada Nik Abdul Aziz, apakah tawaran wang RM200 hingga RM250 kepada 1,557 pengundi Galas yang berada di luar Kelantan untuk pulang mengundi tidak boleh dianggap rasuah?

Bagaimana kalau BN yang membuat tawaran berkenaan? Sudah tentulah Pas akan membuat pelbagai tuduhan. Begitu juga apabila Kerajaan Pas Kelantan secara tiba-tiba mengadakan ekspo pertanian di bandar Gua Musang semasa kempen berlangsung, tidakkah itu menggunakan jentera kerajaan negeri?

Apa yang paling hebat ialah tindakan Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Orang Asli selepas mengislamkan mereka pada Majlis Mesra Rakyat di Pos Sandrop, Lojing, Gua Musang dua hari sebelum hari pengundian. Tidakkah itu boleh dianggap sebagai politik wang bagi memancing undi?

Apa pula hujah Nik Abdul Aziz mengenai pemberian 75 sijil penyertaan projek perumahan berkelompok kepada masyarakat berkenaan pada hari yang sama, tidakkah itu 'penyalahgunaan' kedudukan sebagai kerajaan negeri?

Berdasarkan beberapa contoh tersebut, maka tidak perlulah Nik Abdul Aziz hendak menggambarkan seolah-olah kerajaan Pas Kelantan atau Pas sendiri paling bersih dan suci apabila menghadapi pilihan raya.

Kalau beliau berhujah bahawa BN menggunakan jentera kerajaan, maka di Kelantan apa yang berlaku dalam PRK DUN Galas sudah menjadi bukti. Janganlah melihat kerajaan Pas Kelantan atau Pas itu terlalu baik ketika berhadapan dengan pilihan raya.

Nik Abdul Aziz perlu bermuhasabah dan membiarkan pemimpin-pemimpin Pas yang berfikiran terbuka mengkaji apakah faktor yang menyumbang kekalahan parti berkenaan. Sebagai ahli politik veteran, Nik Abdul Aziz sepatutnya belajar menghormati kebijaksanaan para pengundi membuat keputusan. Janganlah apabila menang anggap BN ditolak oleh rakyat, apabila Pas kalah BN dituduh merasuah rakyat.

Selain itu, Nik Abdul Aziz juga sebagai ulama sudah pasti mengerti ketentuan Allah SWT. Dalam soal apa pun dalam kehidupan di dunia ini, manusia hanya mampu merancang, tetapi Allah yang menentukan segala-galanya. Nik Abdul Aziz mungkin boleh mempengaruhi penyokong-penyokong tegar Pas dengan hujahnya, tetapi dalam kalangan rakyat biasa, mereka semakin memahami kenapa Pas tidak harus diberikan kemenangan dalam pilihan raya.

Justeru, tidak payah lagi Nik Abdul Aziz terus bersilat lidah bagi menutup kelemahan Pas, sebaliknya berusahalah memperkukuhkan kembali parti itu yang dilihat tidak lebih daripada 'pak turut' dalam kerjasama dalam kalangan parti pembangkang.

Gerakan Manjung..

0 comments:

Post a Comment