Pages

Tuesday, May 31, 2011

Letak Calon Melayu Kerana DAP Tak Percaya Pada Pas – Khoo Kay Kim!

Penganalisis politik tempatan, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim menganggap tindakan DAP yang mahu meletakkan calon Melayu mewakili parti mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang adalah kerana tidak pernah percaya dan tidak yakin pada kemampuan Pas dan sekutunya dalam pakatan pembangkang.

Katanya, DAP terpaksa mencari alternatif lain sebagai strategi bagi memastikan kaum Melayu memberi sokongan kepada mereka memandangkan peranan Pas dalam pakatan pembangkang tidak banyak membantu.

“DAP dan Pas tidak pernah ada persefahaman dan mereka selalu bergaduh tentang pelbagai perkara, biarpun mereka nafikan tapi rakyat bukannya bodoh untuk menilai bagaimana lakonan mereka,” katanya.

Khoo yang juga tokoh akademik berkata demikian mengulas berkaitan kesungguhan DAP yang mahukan calon Melayu mewakili parti mereka sebagai salah satu cara untuk mendapatkan kuasa melalui parti DAP semata-mata.

Jelas beliau, biarpun Pas adalah sekutu Dap dalam pakatan pembangkang selain PKR tetapi DAP tidak mempunyai keyakinan untuk anggota lain melaksanakan tanggungjawab dalam mewakili kaum-kaum tertentu.

“Pas dan DAP mempunyai idealogi yang bertentangan dan tentunya antara parti masing-masing wujud sifat prejudis selain saling prasangka antara satu sama lain, apatah lagi dengan ahli-ahlinya dalam masyarakat. Jadi bagaimana mereka mahu melaksanakan usaha bersama-sama sekiranya saling mencurigai.”

Jelasnya, kerana itulah DAP mealkasanakan stategi politik baru kerana mahukan kuasa autonomi ke atas parti mereka sendiri yang diwakili oleh kaum-kaum tertentu tanpa melibatkan parti lain sekiranya mendapat mandat untuk berkuasa.

“Mereka cari strategi ini untuk dapatkan sokongan orang Melayu secara terus kerana mereka sedar bahawa mereka tidak akan mendapat kuasa secara total tanpa sokongan penuh daripada bangsa Melayu juga,” katanya.

Terang beliau, sama ada perancangan tersebut akan berjaya atau sebaliknya bergantung kepada keadaan kerana secara umumnya masyarakat Melayu terikat dengan pegangan agama Islam yang sangat rigid.

“Apakah perjuangan dan idealogi DAP itu bersesuaian dengan bangsa Melayu apatah lagi orang Melayu dinaungi oleh hak dan keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sedangkan perkara tersebutlah yang selalu dipertikaikan oleh anggota DAP.

“Semuanya terletak pada tangan orang Melayu sendiri sama ada mahu menyokong perjuangan DAP yang bertentangan dengan apa yang mereka telah asimilasikan dalam budaya dan kehidupan atau mahu teruskan bersama-sama Barisan Nasional (BN) yang telah terbukti sejak dari awal kemerdekaan lagi?” tegasnya.

Dilaporkan DAP mahu meletakkan calon Melayu adalah untuk memastikan dapat menguasai negeri tertentu kerana yakin bahawa parti itu mampu memperolehi jumlah kerusi berbanding parti lain dalam pakatan pembangkang pada PRU akan datang.

Ini dibuat berdasarkan pengalaman pada PRU 2008 di Perak iaitu walaupun mereka mempunyai jumlah kerusi yang banyak tetapi wakil mereka tidak boleh menjadi Menteri Besar kerana Perlembagaan negeri Perak tidak mengizinkan orang bukan Melayu menyandang jawatan itu. – MediaUMNO

Gerakan Manjung..( GM )

Monday, May 30, 2011

Anwar takut penerimaan ulama?

(
Anwar Ibrahim didakwa takut dengan penerimaan golongan ulama dalam Pas terhadapnya selepas terbongkarnya pelbagai salah laku beliau sejak akhir-akhir ini.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, sehubungan itu, Anwar didakwa mengarahkan pemimpin serta ahli Pas yang cenderung 'menyembah' Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu merancang gerakan menghakis penguasaan golongan ulama dalam parti itu.

Kumpulan menyebelahi Anwar yang beliau gelar sebagai 'Anwarinas' itu katanya, merupakan 'makhluk perosak' dalam Pas yang hanya akan menyebabkan kejatuhan parti itu suatu hari nanti.

"Golongan Anwarinas ini akan menterjemah apa yang telah mereka rancang sejak 2008 pada pemilihan kepimpinan Pas dalam muktamar kali ini bagi menukar saf kepimpinan parti itu yang sekian lama dikuasai oleh para ulama.

"Mereka ini (golongan Anwarinas) tidak 'memandang' Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pemimpin mereka sebaliknya mengangkat Anwar sebagai ketua," katanya di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu sebelum ini pernah mendedahkan, sudah ada satu perancangan sulit dibuat untuk menukar saf kepimpinan Pas yang dikuasai oleh para ulama kepada golongan yang dikenali sebagai 'Kaum Si Tanggang' dalam muktamar yang bakal berlangsung itu.

Beliau juga mendedahkan sudah diberikan nama pemimpin dan ahli Pas yang telah disenaraikan untuk bertanding semua jawatan utama termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung dan Ahli Jawatankuasa Pusat pada pemilihan kali ini.

Mengenai soalan bila akan mendedahkan nama itu, Zulkifli berkata, beliau percaya nama kesemua pemimpin serta ahli Pas yang berkiblatkan Anwar pasti terbongkar secara sendirinya pada pemilihan kepimpinan parti itu kali ini.

Sementara itu, bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, golongan ulama dalam Pas kini memang sedang memerhatikan Anwar selepas pendedahan mengenai kes liwat dan terbaru skandal video seksnya.

"Tetapi sehingga kini mereka (golongan ulama Pas) masih berdiam diri kerana melihat beberapa kepentingan lain. Anwar tahu golongan ulama Pas tidak akan menerima beliau ekoran salah laku itu lalu merancang gerakan untuk menghapuskan golongan tersebut di dalam Pas.

"Semua orang kenal Anwar. Kalau dia tidak boleh gunakan seseorang itu untuk kepentingannya, dia pasti akan lawan orang itu dan ini sedang berlaku kepada kepimpinan ulama Pas," katanya.

Nakhaie berkata, apa yang berlaku dalam Pas dan dengan segala perancangan untuk menghapuskan kepimpinan ulama dalam parti itu datang daripada desakan PKR yang diketuai Anwar.

Gerakan Manjung ( GM )

Monday, May 16, 2011

Sikap ‘diam diri’ Karpal dipersoal!

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim hari ini mempersoalkan sikap peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh yang terus berdiam diri walaupun anak guamnya itu didakwa sebagai pelaku dalam sebuah video seks yang disebarkan baru-baru ini.

Menurut Zahrain, sebagai Pengerusi DAP dan peguam berwibawa yang mewakili Anwar sepatutnya Karpal bertindak mendesak polis supaya mendedahkan hasil siasatan yang dibuat bagi mencari kebenaran serta mengelakkan rakyat terus keliru.

Tambahnya, Karpal juga sepatutnya melakukan sesuatu dan mencari jalan bagi membersihkan nama anak guamnya itu dan bukan bertindak mendiamkan diri.

“Agak menghairankan sebagai seorang peguam berwibawa, beliau tidak mengambil sebarang tindakan terhadap dakwaan dibuat oleh Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang membuat sumpah bahawa pelaku dalam video seks terbabit adalah Anwar.

“Sepatutnya dia menyaman Shazryl Eskay kerana membuat tuduhan sedemikian terhadap Anwar. Namun yang terjadi sebaliknya, dia hanya berdiam diri,” katanya di sini hari ini.

Menurut Zahrain, tindakan yang ditunjukkan Karpal itu amat jelas menunjukkan beliau mengamalkan sikap double standard kerana dulu Karpal pernah cuba menjadi ‘hero’ ketika membangkitkan isu video seks membabitkan Datuk D.P. Vijandran iaitu bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Dulu beliau cuba menjadi hero tetapi kenapa apabila kes membabitkan Ketua Pembangkang itu, beliau hanya berdiam diri. Adakah kerana beliau takut rakyat mengetahui perkara sebenar.

“Kita kenal Karpal sebagai seorang yang telus dan bermoral tinggi, malah beliau dikenali sebagai Harimau Jelutong, tetapi kali ini beliau hanya berdiam diri,” katanya.

Tambah Zahrain, kes video seks yang dikaitkan dengan Anwar itu seharusnya diselesaikan dengan segera bagi menghilangkan kekeliruan di kalangan rakyat yang dapat melihat klip video berkenaan menerusi Internet.

Gerakan Manjung..(GP)