Monday, June 25, 2012
Abdul Khalid mungkin gagal - Tun Mahathir!
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pergolakan berlaku dalam kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor kerana ia dipimpin oleh seorang yang kurang berkemampuan.
Katanya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebenarnya orang UMNO tetapi memilih parti lawan kerana kecewa tidak mendapat sesuatu.
''Beliau masuk parti lawan bukan sebab percaya kepada prinsip perjuangan, tetapi lebih kepada kerana kecewa.
"Beliau ada sedikit kebolehan tentang pentadbiran tetapi tidak akan berjaya kerana bukan orang politik, tetapi masuk politik kerana kecewa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Bicara Bersama Pelajar Perubatan Kolej Tun Dr. Ismail Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan kolej itu, di sini hari ini.
Dr. Mahathir ditanya mengenai isu pergolakan yang berlaku dalam kepimpinan PKR di Selangor terutama selepas peletakan jawatan Rafizi Ramli sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, dipercayai ekoran pertembungan politik dua kem membabitkan Menteri Besar dan Pengerusi PKR negeri, Azmin Ali.
Menurut Dr. Mahathir, pergolakan yang berlaku sedikit sebanyak akan mengganggu perjalanan PKR Selangor, namun Barisan Nasional (BN) tidak harus berasa terlalu gembira dengan situasi tersebut.
"BN perlu terus berusaha mendapatkan kembali Selangor pada pilihan raya nanti, tak usaha pun tak boleh dan jangan harap orang lemah saja untuk menang," katanya.
Sementara itu, menurut Dr. Mahathir, usaha menjatuhkan kerajaan ala 'Arab Spring' tidak seharusnya berlaku di negara ini, kerana Malaysia mempunyai sistem demokrasi lebih baik berbanding Asia Barat.
Jelas beliau, jika perbandingan demokrasi antara Malaysia dan negara Arab dibuat, ia jelas membuktikan kerajaan negara ini mendahulukan kepentingan rakyat dalam setiap perkara.
Katanya, 'Arab Spring' adalah pemberontakan rakyat untuk menjatuhkan kerajaan dan di Asia Barat mereka memang mengamalkan kebangkitan tersebut kerana negara itu bukan demokratik sebaliknya autokratik.
Menurut beliau, 'Arab Spring' berlaku kerana pemimpin mereka menerajui negara semata-mata untuk kepentingan diri tanpa memikirkan keutamaan rakyat, lalu penduduk menderita dan kadar kemiskinan meningkat sehingga ada yang sanggup membunuh diri.
''Kita di sini ingin 'Arab Spring' tetapi soalnya adakah kerajaan terlalu zalim? Adakah kerajaan tidak beri perhatian kepada nasib rakyat, tidak membangunkan dan memajukan negara?'' katanya menjawab soalan daripada salah seorang pelajar kolej berhubung isu 'Arab Spring' di majlis itu.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pengarah Jasa, Datuk Fuad Hassan; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin; bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid.
GM : Gerakan Manjung..
0 comments:
Post a Comment