Pages

Monday, June 25, 2012

Abdul Khalid mungkin gagal - Tun Mahathir!




Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pergolakan berlaku dalam kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor kerana ia dipimpin oleh seorang yang kurang berkemampuan.

Katanya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebenarnya orang UMNO tetapi memilih parti lawan kerana kecewa tidak mendapat sesuatu.

''Beliau masuk parti lawan bukan sebab percaya kepada prinsip perjuangan, tetapi lebih kepada kerana kecewa.

"Beliau ada sedikit kebolehan tentang pentadbiran tetapi tidak akan berjaya kerana bukan orang politik, tetapi masuk politik kerana kecewa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Bicara Bersama Pelajar Perubatan Kolej Tun Dr. Ismail Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan kolej itu, di sini hari ini.

Dr. Mahathir ditanya mengenai isu pergolakan yang berlaku dalam kepimpinan PKR di Selangor terutama selepas peletakan jawatan Rafizi Ramli sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, dipercayai ekoran pertembungan politik dua kem membabitkan Menteri Besar dan Pengerusi PKR negeri, Azmin Ali.



Menurut Dr. Mahathir, pergolakan yang berlaku sedikit sebanyak akan mengganggu perjalanan PKR Selangor, namun Barisan Nasional (BN) tidak harus berasa terlalu gembira dengan situasi tersebut.

"BN perlu terus berusaha mendapatkan kembali Selangor pada pilihan raya nanti, tak usaha pun tak boleh dan jangan harap orang lemah saja untuk menang," katanya.

Sementara itu, menurut Dr. Mahathir, usaha menjatuhkan kerajaan ala 'Arab Spring' tidak seharusnya berlaku di negara ini, kerana Malaysia mempunyai sistem demokrasi lebih baik berbanding Asia Barat.

Jelas beliau, jika perbandingan demokrasi antara Malaysia dan negara Arab dibuat, ia jelas membuktikan kerajaan negara ini mendahulukan kepentingan rakyat dalam setiap perkara.

Katanya, 'Arab Spring' adalah pemberontakan rakyat untuk menjatuhkan kerajaan dan di Asia Barat mereka memang mengamalkan kebangkitan tersebut kerana negara itu bukan demokratik sebaliknya autokratik.

Menurut beliau, 'Arab Spring' berlaku kerana pemimpin mereka menerajui negara semata-mata untuk kepentingan diri tanpa memikirkan keutamaan rakyat, lalu penduduk menderita dan kadar kemiskinan meningkat sehingga ada yang sanggup membunuh diri.

''Kita di sini ingin 'Arab Spring' tetapi soalnya adakah kerajaan terlalu zalim? Adakah kerajaan tidak beri perhatian kepada nasib rakyat, tidak membangunkan dan memajukan negara?'' katanya menjawab soalan daripada salah seorang pelajar kolej berhubung isu 'Arab Spring' di majlis itu.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pengarah Jasa, Datuk Fuad Hassan; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin; bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid.

GM : Gerakan Manjung..



Tuesday, May 22, 2012

Countdown Hari Belia Negara 2012 - Pusat Media Mula Dibuka Hari Ini!



Pusat Media semperna Hari Belia Negara mula dibuka dari hari ini sehingga 27 Mei 2012. Menurut kenyataan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), pusat itu beroperasi dari pukul 8.00 pagi sehingga 11.00 malam setiap hari. Antara kemudahan yang disediakan adalah komputer, internet, wi-fi, mesin fax dan telefon. Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Saudara Razali Mohamed Yasin di talian 013-3408413 (e-mail: razali_m@kbs.gov.com.my) atau Muhammad Arif Mat Jusoh di talian 017-9478231(e-mail: ariff@kbs.gov.com.my).

HBN 2012 yang bertemakan “Jadikan Hari Esok Lebih Baik Dari Hari Ini ” berlangsung selama 5 hari bermula 23- 27 Mei di Putrajaya. Sambutan tahun ini menyaksikan 500 acara dalam 38 segmen, 1,000 persembahan, 24 pentas di sepanjang enam kilometer dengan sasaran untuk menghimpunkan seramai dua juta belia.

“Himpunan HBN 2012 adalah manifestasi pengiktirafan kerajaan bagi menjadikan Putrajaya sebagai medan besar untuk para belia mempamer tenaga dan kreativiti mereka. Pemimpin terdahulu, telah mendirikan Putrajaya sebagai kota kemegahan kita. Mari kita beri pengisian kepada kota ini dengan semangat dan tenaga para belia untuk masa depan kita bersama.” - Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak.


Anda semua dijemput hadir...Terima kasih!

Gerakan Manjung..

Tuesday, April 10, 2012

Penderitaan mangsa perang di Bosnia terus dikenang!

PADA 6 April lalu, genap 20 tahun tercetusnya perang Bosnia. Tanggal itu mengingatkan penduduk dunia kepada kekejaman tentera Serbia terhadap umat Islam Bosnia di bekas jajahan Yugoslavia sepanjang tiga tahun perang itu tercetus bermula dari 6 April 1992 hingga Disember 1995.

Bagi mangsa perang yang terselamat, penderitaan yang dilalui sepanjang tiga tahun perang itu tidak pernah luput daripada ingatan, terutamanya bagi etnik Bosnia yang beragama Islam.

Ia bermula dengan pembunuhan seorang gadis etnik Islam Bosnia oleh seorang penembak curi askar Serbia ketika gadis itu menyertai sekumpulan 100,000 penduduk Bosnia daripada pelbagai agama dan etnik berarak secara aman meraikan kemerdekaan Bosnia-Herzegovina daripada Yugoslavia dan menyatakan protes mereka terhadap tindakan Tentera Rakyat Yugoslav (JNA) pimpinan Serb Bosnia yang mengepung Sarajevo bagi memulakan perang terhadap etnik Bosnia dan Croat.

Beberapa pertubuhan dunia melaporkan, hampir 200,000 orang terbunuh dalam perang itu dan kebanyakan mangsa merupakan 65 peratus golongan etnik Islam Bosnia, termasuk lebih 1,000 kanak-kanak.

Pelbagai kisah penderitaan diceritakan sendiri oleh mangsa perang, saudara-mara, ahli keluarga yang terbunuh dalam perang itu termasuk kekejaman askar Serb, lebih-lebih lagi tentera Serbia di bawah komander Bosnia Serb, Jeneral Ratko Mladic yang diarah oleh pemimpin Yugoslovia ketika itu, Radovan Karadzic untuk melancarkan kempen penghapusan etnik bagi membunuh penduduk Islam Bosnia.

Mladic yang dikenali dengan gelaran 'Penyembelih Bosnia' kerana peranan dan bertanggungjawab melakukan 'Penyembelihan Srebrenica', iaitu tragedi pembunuhan beramai-ramai terbesar di Eropah selepas Perang Dunia Kedua, ketika menceroboh Srebrenica, 120 kilometer dari Sarajevo, dengan membunuh lebih 8,000 penduduk Islam tempatan serta memusnahkan hampir 80 peratus rumah di Srebrenica.

Ketika serangan dilancarkan, hampir 15,000 orang bertarung nyawa dengan mendaki gunung dekat bandar Tuzla dan terpaksa berjalan sejauh 100 kilometer bagi mengelakkan dibunuh jika ditemui oleh tentera Serbia. Keganasan tentera Serb tidak terhenti setakat itu, penghapusan etnik turut dilakukan terhadap wanita Islam Bosnia dan melakukan keganasan termasuk merogol mereka yang ditempatkan di seluruh kem tahanan di Bosnia. Sesetengah wanita dirogol berulang kali oleh tentera Serb pada setiap malam.

Dilaporkan kira-kira 50,000 wanita Islam Bosnia menjadi mangsa rogol dan 2.2 juta lagi terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing demi menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa kekejaman tentera Serb. Malah, wanita Islam yang sedang mengandung juga tidak terlepas daripada kekejaman Serbia apabila janin atau bayi mereka yang di dalam kandungan dikorek keluar dengan tujuan tiada lagi bayi etnik Islam Bosnia yang lahir ke muka bumi ini.

Dalam kes yang dilaporkan berlaku di dalam sebuah kem pelarian mangsa perang yang ditawan oleh tentera Serb, menyaksikan ribuan penduduk Islam diasingkan antara lelaki dan wanita.

Sementara itu, sebahagian wanita dan kanak-kanak dipindahkan ke kem lain dan selebihnya terutama lelaki dibunuh dengan kejam sama ada disembelih atau ditembak. Ada juga saksi menceritakan jiran-jiran yang bukan berketurunan Bosnia Islam turut mengambil kesempatan membunuh lelaki dan merogol wanita etnik Bosnia.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula 'gagal' menyalurkan bantuan kerana askar Serb sering menghalang bantuan kepada penduduk Bosnia yang terjejas akibat bekalan elektrik dan gas terputus dan makanan yang tidak mencukupi terutamanya pada musim sejuk.

Penduduk Bosnia terkepung selama 1,426 hari di Sarajevo, ibu negara Bosnia-Herzegovina. Kepungan pengganas Serb ke atas Sarajevo berlarutan selama 44 bulan, lebih lama daripada kepungan tentera Nazi Jerman ke atas bandar raya Leningrad (kini St. Petersburg) semasa Perang Dunia Kedua. Seramai 380,000 penduduk Sarajevo pada waktu itu tidak mempunyai bekalan elektrik, air atau alat pemanas, dan terpaksa bersembunyi daripada terkena tembakan meriam yang dilepaskan oleh pengganas Serb setiap hari.

Selepas perang tamat, banyak kubur besar mangsa askar Serb ditemui satu persatu, mengandungi tulang dan mayat manusia yang ditanam beramai-ramai dipercayai mayat penduduk Bosnia.

Selepas 20 tahun perang itu berlalu, kesengsaraan penduduk Islam Bosnia terus dikenang dengan mengadakan pelbagai acara dan tragedi itu pasti tidak akan hilang daripada ingatan sampai bila-bila.-UMO

Mudah-mudahan Allah swt mencucuri rahmat keatas pejuang-pejuang jihad yang terbunuh dalam mempertahankan agama Islam dibumi Bosnia. Tempatkan mereka didalam golongan orang-orang yang mati syahid, beriman dan beramal soleh. Al-fatihah...!!!

Gerakan Manjung..

Friday, February 10, 2012

Kenapa perlu hampiri daging babi?


Masih belum terlewat bagi saya mengucapkan ‘Selamat Tahun Baru Cina’ kepada yang merayakannya. Juga Salam Maulidur Rasul kepada seluruh umat Islam yang sentiasa cintakan Nabi Muhammad SAW.

Lebih kurang dua minggu lepas, kita semua berpeluang meraikan bersama Tahun Baru Cina. Kedatangan Tahun Naga yang dinanti-nantikan masyarakat Cina turut dimeriahkan dengan pelbagai sambutan di segenap pelosok negara. Sama ada pihak menyokong kerajaan mahupun parti pembangkang semuanya menyusun program Tahun Baru Cina, tidak terkecuali NGO.

Antara yang menarik perhatian ialah apa yang disiarkan oleh akhbar Cina, Sin Chiew Jit Poh, yang turut dipetik oleh Utusan Malaysia pada 3 Februari 2012. Ia mengenai Pengerusi Pas Mersing yang mengagihkan limau mandarin di kalangan penjual daging babi di sebuah pasar di Mersing. Juga Exco kerajaan negeri Selangor yang mengagihkan angpau juga di kalangan yang sama di Selangor.

Saya membaca berita tersebut di portal Malaysiakini, yang menyiarkannya dengan tujuan membuktikan betapa pemimpin pakatan pembangkang sangat prihatin dengan adat dan budaya kaum Cina sehinggakan penjual babi di pasar pun sanggup mereka dekati.

Beberapa kenyataan Rosalan Mamat, Pengerusi Pas Mersing agak menarik perhatian saya. Antaranya beliau dipetik berkata: “Tidak ada masalah untuk Cina makan babi, hanya umat Islam yang tidak boleh makan daging babi. Kita mesti menghormati budaya Cina dan ini adalah hak mereka. Hanya UMNO dan orang MCA yang akan memutar-belitkan fakta dan mendakwa bahawa apabila Pas berkuasa, orang Cina tidak akan dibenarkan makan babi.”

Saya bersetuju dengan kenyataan baris pertama Rosalan. Daging babi hanya haram dimakan umat Islam tetapi tidak kepada bukan Islam. Surah al-Baqarah ayat 173, Allah SWT telah menjelaskan kepada kita: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu makan bangkai, darah, daging babi dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa terpaksa (makannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa.”

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Atas dasar kefahaman ayat tersebut maka kerajaan yang ditunjangi UMNO dan Barisan Nasional memilih membenarkan penjualan daging babi kepada bukan Islam di pasar yang bangunannya diasingkan, tidak bersebelahan dengan bahan halal dan jauh dari kelompok peniaga bahan makanan lain. Hal yang sama dipraktikkan di pasar raya dan kedai runcit, di mana barang tidak halal perlu diletakkan di rak berasingan dan tidak bercampur-aduk dengan yang halal.

Alhamdulillah. Persoalan yang timbul ialah, kenapa Pengerusi Pas Mersing, beragama Islam, menjejakkan kaki menghampiri penjual daging babi di pasar (kelihatan jelas di dalam gambar betapa hampirnya beliau dengan mereka)? Umumnya masyarakat Islam kita, termasuk anak-anak di sekolah kebangsaan seusia tahun empat (10 tahun) mengetahui mengenai pembahagian najis dalam Islam. Yang paling berat ialah najis mughallazah iaitu babi dan anjing. Andai tersentuh, maka perlu dilakukan proses sertu (disebut juga samak) dengan satu bahagian air tanah dan enam bahagian air mutlak.

Terlintas di fikiran saya (dan berdasarkan pembacaan juga, di kalangan ramai umat Islam yang lain) adakah Rosalan melakukan proses sertu atau samak terhadap kasut, pakaian, tangan dan lain-lain yang bersentuhan secara langsung dan tidak langsung dengan babi ketika di pasar itu? Mungkin ada yang akan berhujah menggunakan umum balwa iaitu keadaan yang tidak dapat kita elakkan, seperti memijak jalan raya yang tidak kita ketahui pernah terkena najis mughallazah. Atau memegang wang yang diberikan oleh peniaga Cina yang tidak kita ketahui dia memegang najis mughallazah sebelumnya atau tidak.

Ingin saya nyatakan umum balwa tidak boleh diguna pakai dalam kes Rosalan kerana tempat yang dikunjungi terang-terangan merupakan tempat menjual babi dan peniaganya terang-terangan memegang daging babi sebelum berurusan dengan beliau. Di sinilah silapnya pemimpin Pas tersebut.

Dalam mengejar pengaruh kaum Cina, beliau telah mengetepikan salah satu daripada qawa’id fiqhiyyah yang terpenting iaitu sad-duz-zara’i’. Sad-duz-zara’i’ bermaksud menutup ruang yang boleh membawa kepada silap dan salah faham yang lebih besar yang kadangkala boleh membawa kepada kemungkaran.

Perkara mendekati peniaga daging babi itu ialah sesuatu yang berniat baik dan menunjukkan bahawa Islam tidak mengajar umatnya meminggirkan sesiapa juga. Tetapi ia boleh membawa kepada silap faham di kalangan umat Islam lain. Kesan daripada mengunjungi mereka di pasar tersebut boleh mengakibatkan beliau sentiasa dalam keadaan bernajis mughallazah (andai beliau tidak melakukan proses sertu atau samak).

Jika beliau melakukannya sekalipun, masyarakat umum tetap beranggapan bahawa najis mughallazah telah dipandang ringan oleh pemimpin parti Islam tersebut. Sebagai manusia yang hidup di kalangan manusia lain, hablum minan-nas (hubungan dengan manusia lain) perlu diambil kira.

Atas dasar itulah, ulamak fiqh telah menggariskan di antara qa’idah fiqhiyyah yang memainkan peranan terpenting ialah al-‘adah muhakkamah. Qa’idah ini bermaksud adat, atau sesuatu yang menjadi amalan kebiasaan umum masyarakat setempat, selagi mana tidak bercanggah dengan syarak (al-Quran dan as-sunnah) adalah sumber hukum dalam Islam.

Dalam hal ini, kebiasaan masyarakat Islam kita di Malaysia ialah bahagian jualan daging babi di setiap pasar dipisahkan dan tidak berdekatan dengan bahagian halal, dan tiada umat Islam (ataupun Melayu) menghampiri atau memasuki kawasan jualan daging babi kerana keadaan najis mughallazahnya. Ini tidak bertentangan dengan nas syarak, yang terang-terangan mengharamkan umat Islam makan, membeli dan menjual daging babi (dan perkara haram yang lain) dan menetapkan keperluan proses sertu atau samak seandainya tersentuh najis mughallazah tersebut.

Umumnya masyarakat akan menghukum orang Islam yang memasuki kawasan penjualan daging babi dengan sengaja adalah salah (dari segi kebiasaan masyarakat) dan berdasarkan qa’idah fiqhiyyah yang dinyatakan di atas, ia adalah satu hukum yang sah. Saya yakin, Rosalan tidak meneliti semua aspek yang dinyatakan di atas sebelum mengunjungi penjual daging babi di pasar tersebut.

Political mileage mengatasi segala-galanya bagi beliau. Apalah salahnya sekiranya beliau mengagihkan limau mandarin kepada peniaga Cina yang menjual ikan, sayur dan lain-lain. Manakala untuk peniaga daging babi beliau wakilkan kepada rakan bukan Islam dari pakatan pembangkang sambil beliau melambaikan tangan kepada mereka dari jauh, atau mereka dijemput keluar dari kawasan menjual daging babi tersebut supaya terlaksana sad-duz-zara’i’ tadi.

Saya risau, sekiranya pakatan pembangkang (dan Pas) mendapat kuasa memerintah, mereka menyatukan penjualan daging babi di bawah satu bumbung bersebelahan daging lembu, dengan alasan bak kata Rosalan, ‘Islam tidak menghalang bukan Islam makan daging babi’. Bukannya Melayu yang jual, bukan pula Melayu yang beli, jadi apa salahnya sebelah gerai ikan kita letakkan gerai daging babi, tak begitu? Na’uzubillah. Wallahua’alam.

Gerakan Manjung ( GM )

Thursday, February 2, 2012

Anwar boleh tipu orang ramai, tetapi dia tidak boleh tipu diri sendiri..!!!



Video ini membuktikan Anwar dah kantoi dengan jawapan palsunya didepan khalayak ramai. Anwar boleh menipu orang ramai tetapi bolehkah Anwar menipu mahkamah..?

Setelah rakyat pakatan sendiri percaya dengan sepenuhnya sekarang bahawa mahkamah adalah telus dan benar apabila melepaskan Anwar daripada skandal kes liwatnya..?

Isteri sendiri pun tertipu dengan tipudaya Anwar yang bijak memutar cerita..!!!

Gerakan Manjung..

Thursday, January 26, 2012

UNDI ANWAR TEMPAH BILIK NERAKA kini makan diri PAS!

Ini bukan fitnah. Ini adalah kenyataan PAS yang terpampang jelas di lidah rasmi mereka iatu HARAKAH satu ketika dahulu. Kenyataan ini dibuat sebagai amaran kepada PAS suatu ketika dahulu. Tetapi PAS tetap langgar amaran yang telah ditetapkan.

Cuba kita lihat apa yang berlaku ? Nik Aziz semakin nyanyuk membela Anwar Ibrahim. Kekuatan PAS yang pernah menjadi tonggak utama pakatan pembangkang kini sekadar melukut ditepi gantang. Sedangkan semua orang tahu kekuatan jentera PAS yang paling hebat dari segi komitmen ahli parti mereka.

Dr. Hasan Ali cuba peringatkan kepada PAS dan pimpinannya tentang Anwar Ibrahim. tetapi apa yang berlaku? Beliau dipecat serta merta tanpa wujudnya ruang keadilan. Satu tindakan autokratik ala komunis oleh pimpinan PAS. Sebab apa? Sebab Anwar Ibrahim itu maksum taraf Imam Mahdi ?. Sebab Nik Aziz itu maksum taraf Nabi ?

Sesiapa sahaja yang kritik Anwar Ibrahim akan dianggap musuh Islam. Sesiapa yang menegur Anwar Ibrahim dianggap menghina pemimpin suci PAS iaitu Nik Aziz. Ini lah perkara sebenar yang berlaku. Ini lah kisah benar yang RAKYAT perlu tahu.

Anwar Ibrahim bukan maksum. Dia adalah PENIPU. Bukan saya cakap atau FITNAH. Tanya sama rakan-rakan rapatnya. Berapa ramai yang sudah ditipu Anwar Ibrahim tentang janji 16 September ke Putrajaya sehinggakan peguambelanya sendiri yang juga Pengerusi DAP menuntut Anwar Ibrahim BERTAUBAT !!!

Raja Petra Kamarudin (RPK) pemilik portal Malaysia-Today yang menjadi sarang maklumat pembangkang juga mengesahkan bahawa Anwar Ibrahim adalah PENIPU. Menipu RAKYAT bahawa dia tidak kenal Datuk Eskay yang keluarkan video seksnya tetapi RPK sendiri sahkan Anwar Ibrahim telah memperkenalkan Datuk Eskay kepada beliau. Nah! RPK sendiri menjadi saksi kepada PENIPUAN DAN PEMBOHONGAN ANWAR IBRAHIM.

Sekarang sudah lihat PAS menjilat ludah mereka sendiri. Peringatan 'UNDI ANWAR TEMPAH BILIK NEREKA' yang tidak diendahkan sudah MAKAN DIRI kepada PAS.

Sampai bila ahli dan pimpinan PAS mahu terus percayakan Anwar Ibrahim yang disokong kuat oleh Nik Aziz?

Gerakan Manjung (GM)

Thursday, December 8, 2011

Gelar Karpal ‘Godfather’, Ramasamy didesak mohon maaf!


Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy didesak meminta maaf dengan segera berhubung kenyataannya yang menggelarkan Pengerusi DAP, Karpal Singh sebagai ‘Godfather’.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, RSN Rayer yang juga Ahli Jawatankuasa DAP negeri membuat gesaan itu atas alasan tindakan Ramasamy dilihat seperti tidak mempedulikan sumbangan Karpal terhadap parti itu.

“Ramasamy harus berjumpa dengan Karpal untuk memohon maaf dan memberikan penjelasan mengenai perkara yang berlaku baru-baru ini.

“Beliau sepatutnya menghormati pemimpin veteran parti dan jangan mahu menjadi warlord dalam DAP,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Jalan Zainal Abidin, di sini hari ini.

Krisis dalaman DAP hangat diperkatakan apabila Ramasamy didakwa mengumumkan sendiri tiga calon wanita India yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Berikutan itu, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor memberi amaran kepada pemimpin bersikap warlord yang dipercayai merujuk kepada Ramasamy agar jangan mengumumkan konco-konconya sebagai calon.

Dalam pada itu, Rayer berkata, DAP akan mengambil tindakan disiplin terhadap Ramasamy jika beliau enggan memohon maaf kepada Karpal.

Mengenai dakwaan Ramasamy kononnya kenyataan beliau telah diputar-belit oleh media, Rayer menegaskan, dia sepatutnya mengambil tindakan segera supaya isu tersebut tidak berleluasa.

Dalam perkembangan sama, Rayer juga mahu Ramasamy tidak menjadi seperti kacang lupakan kulit kerana pelantikan beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang adalah atas cadangan Karpal selepas berbincang dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Adakah Ramasamy bakal menjadi Gobalakrishnan II...kita tunggu dan lihat!

Gerakan Manjung..